Biografi Yejong dari Joseon

Baginda dilahirkan pada tahun 1450 sebagai anakanda kedua Sejo dari Joseon. Nama formalnya ialah Putera Haeyang, tetapi baginda dinaikkan pangkat menjadi putera mahkota pada usia 8 tahun, setelah kemangkatan mendadak kakandanya, Putera Mahkota Uigyeong.

Pada tahun 1468, ketika berusia 19 tahun, ayahandanya Sejo menyerahkan takhta, tetapi memandangkan baginda belum berusia 20 tahun dan secara fizikalnya lemah sejak kecil, Permaisuri Jeonghee, yang merupakan ibunda Yejong, tampil memerintah negara. Menurut catatan zaman ini, keputusan politik diambil oleh Permaisuri dan tiga orang subjek yang dicalonkan oleh Raja Sejo.

Walaupun tempoh pemerintahannya hanya 14 bulan, beberapa kejadian besar telah berlaku. Pada tahun 1468, pengkhianatan Nam I sangat mempengaruhi politik Joseon. Sebaik sebelum kemangkatannya pada tahun 1469, Joseon mulai melarang semua perdagangan dengan Jepun. Semasa pemerintahannya, baginda memberikan hak kepada petani biasa untuk mengusahakan ladang yang pada awalnya milik tentera.

Baginda mangkat ketika baru berusia 20 tahun. Makamnya terletak di Goyang, Gyeonggido Korea Selatan dengan beberapa perkuburan Raja dan Permaisuri yang lain. Selepas kemangkatannya, takhta tidak diserahkan kepada anak lelaki Yejong; sebaliknya, anak saudaranya dan putera kedua Putera Mahkota Uigyeong, Putera Cheolsan menjadi pewarisnya dan kemudian dikenali sebagai Raja Seongjong dari Joseon.